Info Pendidik Guru

Info About Teaching And Learning Process
Subscribe

PEDAGOGI

Bidang Pedagogi untuk pelajar KPLI ini secara khususnya akan cuba memperkenalkan konsep pengajaran dan pembelajaran. Kesemua topik dalam bidang pedagogi ini juga akan menerangkan pelbagai model pengajaran, strategi pengajaran, kaedah dan teknik. Oleh sebab penilaian memainkan peranan penting proses pengajaran, ruang ini akan turut membincangkan tujuan dan jenis ujian dan penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, input berkaitan dengan pembinaan dan pemilihan ujian juga dibincangkan.

Sebagai guru, kita memainkan peranan penting dalam mendiagnos perkembangan dan pertumbuhan murid kita, kebolehan, kemajuan dan pencapaian akademik. Melalui penilaian berasaskan sekolah, kita sebagai guru perlu dapat mengenal pasti potensi murid kita secara menyeluruh dan bersepadu daripada aspek intelek, moral, emosi dan fizikal selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG).

Topik-topik yang akan dibincangkan adalah meliputi:

Tajuk 1: Pengurusan Bilik Darjah 

 Tajuk 2: Interaksi dan Komunikasi Dalam Bilik Darjah

Tajuk 3: Teori dan proses pembelajaran

Tajuk 4: Pengajaran

4.1 Model-model pengajaran

4.2 Pendekatan Pengajaran

4.3 Strategi Pengajaran

4.4 Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Pedagogi Bestari 

4.5 Kaedah dan Teknik Mengajar

 

Secara ringkas, isi-isi utama adalah seperti berikut:

• Pengajaran boleh dihuraikan sebagai satu cara untuk menyalurkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai kepada murid-murid supaya mereka dapat berfungsi dengan berjaya dalam masyarakat.
• Dalam Model Pengajaran Ekspositori, guru yang membekalkan semua fakta, idea dan maklumat lain kepada murid.
• Dalam Model Pemerosesan Maklumat, maklumat yang diterima oleh murid akan melalui beberapa siri transformasi apabila maklumat itu berpindah dari daftar sensori ke ingatan jangka pendek dan akhirnya ke ingatan jangka panjang. Proses-proses pembelajaran seperti terdapat dalam Model Pemerosesan Maklumat dapat diterangkan oleh sembilan peristiwa arahan Gagne.
• Dalam Model Inkuiri murid dikehendaki menyoal untuk menyiasat, memberi idea, mencadangkan hipotesis, mengumpul dan menyusun data untuk menguji hipotesis dan membuat kesimpulan tentatif.
• Dalam Model Projek, guru memainkan peranan sebagai pemudahcara dan membantu murid mengenal pasti masalah. Guru mewujudkan suasana yang memastikan terdapat kebebasan untuk menyiasat dan peluang untuk berinteraksi satu sama lain dengan baik. Guru juga memberi sokongan psikologi.
• Empat strategi pengajaran utama telah dibincangkan: Pemusatan guru, Pemusatan Murid, Berasaskan Sumber dan Berasaskan Tugasan.Terdapat empat pendekatan pengajaran utama iaitu kesepaduan, induktif, deduktif dan eklektik.

(a) Pendekatan pengajaran kesepaduan adalah satu cara untuk menyusun program pengajaran supaya mata pelajaran dan kemahiran yang berasingan dapat dihubungkaitkan satu sama lain dan murid diajar mengikut gambaran menyeluruh yang menyepadukan semua topik dan kemahiran. (b) Dalam pendekatan induktif, guru memberi beberapa contoh yang kesemuanya mempunyai peraturan konsep yang sama. Peraturan konsep tidak dinyatakan. Pelajar dikehendaki mencari dan menyatakannya melalui contoh-contoh yang diberi di hujung pelajaran.

(c) Dalam pendekatan deduktif, guru bermula dengan peraturan konsep atau satu pernyataan umum tentang apa yang ingin dibukti. Kemudian guru menunjukkan bukti untuk peraturan konsep tersebut melalui beberapa contoh dan menyoal murid supaya dapat mencungkil daripada murid ciri-ciri penting dan bukan penting peraturan konsep berkenaan. (d) Pendekatan eklektif adalah gabungan kaedah pengajaran seperti gabungan pendekatan induktif dan deduktif.• Kaedah-kaedah dan teknik-teknik pengajaran juga dibincangkan termasuk pembelajaran melalui permainan, main peranan, sumbangsaran, tematik, integrasi atau kesepaduan, bercerita, memudahcara, perbincangan, inkuiri, demonstrasi, penyelesaian masalah dan pembelajaran masteri• Faktor-faktor yang boleh mempengaruhi pemilihan kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan ialah pembolehubah konteks, proses dan produk.

Diharapkan pada akhir perbincangan ini, pelajar akan dapat:

1. menerangkan konsep pengajaran yang berkaitan dengan profesionalisme guru dan pengajaran berkesan;

2. menerangkan pelbagai jenis model pengajaran dan implikasinya terhadap pengajaran dan pembelajaran;

3. mengenal pasti strategi pengajaran, kaedah dan teknik yang boleh menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan;

4. menerangkan dengan jelas konsep pengujian, pengukuran dan penilaian
dalam pendidikan;

5. mengira ukuran-ukuran kecendurangan memusat dan sebaran dengan tepat;

6. mengira dan mentafsir pelbagai jenis skor piawai yang digunakan dalam pengujian; dan

7. menerangkan dengan tepat konsep, prinsip dan pelaksanaan Penilaian Kendalian Berasaskan Sekolah (PKSR).

 

Rujukan:

Kamarudin, H. (1990). Pedagogi 2. Petaling Jaya: Longman Malaysia.

Mok, S.S. (2002). Ilmu pendidikan untuk KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah) Semester 1 & 2. Edisi kedua. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.

Brophy, J.E. & Good, T.L. (1977). Educational psychology. A realistic approach. New York: Holt, Rinehart and Winston.

Burden, P.R. & Byrd, D.M. (1994). Methods for effective teaching. Boston: Allyn Bacon.

Gredler, M.E. (2001). Learning and instruction. Theory into practice. 4th Edition. New Jersey: Merrill Prentice Hall.

Jones, K. (1995). Simulations. A handbook for teachers and trainers. London: Kogan Page.

Magoon, R.A. & Garrison, K.C. (1976). Educational psychology. An integrated view. 2nd Edition. Ohio: Charles E. Merrill Publishing Company.

Ministry of Education (2002). Education resource book for lecturers. Teacher Education Division.

 

1 Comments to “PEDAGOGI”


  1. Woot, I will cretanily put this to good use!

    1


Leave a Reply